Belgium berbelah bahagi

Saya akan bekerja keras – Torres
July 15, 2018
Koscielny, Payet dijemput ke final
July 15, 2018

Belgium berbelah bahagi

BERITA HARIAN: Beribu penyokong Belgium dijangka membanjiri ibu kota Brussels hari ini namun mereka dilihat mempunyai perasaan berbelah bahagi mengenai pencapaian pasukan kesayangan mereka di Piala Dunia.

Kejayaan meraih tempat ketiga selepas menewaskan England St Petersburg, malam tadi memastikan Belgium meraih penamat terbaik di Piala Dunia, namun mereka sebenarnya diharapkan mampu meraih pencapaian lebih baik.

Barisan pemain yang dilabel generasi emas mempunyai kemampuan untuk memenangi Piala Dunia dan mereka dilihat berada di landasan tepat selepas bangkit menewaskan Jepun di pusingan kedua sebelum menewaskan Brazil pada aksi suku akhir.

Bagaimanapun, kekalahan kepada Perancis di separuh akhir meleburkan segala-galanya walaupun mereka mengubati kekecewaan itu dengan menewaskan England 2-0 untuk meraih tempat ketiga.

“Saya rasa jika kami beraksi di final, kami mampu memenangi Piala Dunia,” kata pemain pertahanan, Vincent Kompany, 32, yang dijangka tidak berpeluang untuk beraksi sekali lagi pada pentas berprestij itu di Qatar 2022.

“Namun, tempat ketiga sudah cukup baik untuk penyokong serta sebagai ganjaran kepada kami. Kami beraksi tujuh perlawanan dan memenangi enam daripadanya,” katanya.

Kemampuan meledak 16 gol di Russia juga membuktikan kehebatan mereka, namun pada akhirnya tewas menerusi taktikal bijak dipamerkan Perancis di separuh akhir.

Pemain seperti kapten, Eden Hazard, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan penjaga gol, Thibault Courtois dijangka kembali beraksi empat tahun akan datang, namun ia mungkin tidak untuk Kompany, Marouane Fellaini, Jan Vertongen dan Axel Witsel.

“Banyak yang memperkatakan mengenai barisan pemain sedia ada. Saya rasa kita semua dapat saksikan di Piala Dunia yang mana kami tidak bergantung kepada seorang pemain saja,” kata jurulatih, Roberto Martinez yang dijangka berdepan tekanan lebih tinggi di saingan Euro 2020.

“Bakat akan membolehkan seseorang pemain itu pergi jauh tetapi ia masih tidak memadai. Barisan pemain saya menunjukkan mereka mahu beraksi sebagai satu pasukan,” katanya. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *