Dalic berminat ke EPL

Pogba cipta sejarah jika Perancis juara
July 15, 2018
Masa depan England sangat baik – Mourinho
July 15, 2018

Dalic berminat ke EPL

BERITA HARIAN: Zlatko Dalic bukan jurulatih tersohor sebelum ini namun namanya menjadi perhatian apabila Croatia membuat penampilan pertama di final Piala Dunia Russia.

Bukan sesuatu yang mengejutkan jika pengendali berusia 51 tahun itu bakal dipancing oleh kelab-kelab besar Eropah termasuk kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dalic menghabiskan hampir sepanjang kariernya bersama kelab di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum menerima tugas membimbing Croatia di penghujung kelayakan Piala Dunia Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun bekas pemain tengah kelab Hajduk Split itu berjaya membawa skuad negara kecil ke Russia dengan menewaskan Greece menerusi aksi play off dan kini ke pentas final malam ini.

Dalic dikenali sebagai individu yang suka bercakap dan dia bercakap selama sejam pada hari pasukannya menewaskan England 2-1 pada separuh akhir.

Ketika itu, dengan jelas beliau memaklumkan mengenai cita-cita besarnya.

“Dalam liga besar Eropah, anda hanya melihat kepada nama saja dan itu semua salah,” kata Dalic. “Orang mendapat tugas besar kerana mereka adalah pemain ternama.

“Saya bermula dengan kelab kecil. Saya memberitahu mereka bahawa nama besar sama dengan kesalahan besar yang memerlukan perbelanjaan besar.

“Saya tidak diberikan kemewahan berbanding beberapa pengurus di Eropah kerana mereka sudah dikenali.

“Tapi saya selalu menyatakan: “Beri saya Barcelona atau Madrid dan saya akan memenangi kejuaraan.”

Dalic berada di negara Timur Tengah antara 2010 dan 2017 yang menyaksikan beliau memenangi beberapa kejuaraan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau berminat untuk membimbing kelab EPL, Dalic berkata: “Saya tak boleh memikirkan mengenai perkara itu sekarang kerana ia akan memberi mesej salah kepada rakyat Croatia ketika kami sedang memburu gelaran pasukan terbaik dunia

“Tapi mungkin. Sekarang kami perlu berusaha untuk melaksanakan misi besar.” – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *