Mbappe bintang dalam pembikinan

Modric pemain terbaik
July 16, 2018
Senarai penerima anugerah FIFA
July 16, 2018

Mbappe bintang dalam pembikinan

HARIAN METRO: Pemain muda, Kylian Mbappe mengesahkan statusnya selaku bintang baru dalam bola sepak antarabangsa dengan gol menakjubkan dan persembahan hebat ketika kemenangan 4-2 Perancis ke atas Croatia di final Piala Dunia.

Pada aksi Piala Dunia yang menyaksikan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi pulang selepas pusingan kalah mati pertama dan pemain Brazil, Neymar gagal menyinar, temasya itu mungkin perlukan bakat baru untuk menceriakan seluruh peminat.

Pemain berusia 19 tahun dari Bondy di pinggir Paris, menampilkan kepantasan hebat, sentuhan memukau dan penyudah klinikal.

Dengan jaringannya, Mbappe menjadi pemain muda pertama sejak pemain hebat Brazil, Pele pada 1958 yang menjaringkan gol pada final Piala Dunia.

Mbappe yang menjaringkan empat gol di Russia, juga dipilih sebagai pemain muda terbaik kejohanan – pengiktirafan buat persembahan hebatnya, terutama pada saingan kalah mati.

Bekas pemain dan jurulatih Piala Dunia Jerman, Juergen Klinsmann yang kini bertugas dengan BBC untuk kejohanan kali ini, percaya penyerang Paris St Germain itu boleh menjadi seorang daripada pemain terhebat dalam masa terdekat.

“Banyak yang akan dilaluinya sepanjang laluan itu. Dia menggegarkan pasaran. Dengan Ronaldo berhijrah (ke Juventus) dan pemain Paris St Germain, Neymar dikaitkan dengan kelab lain, di manakah penamat budak ini?”

Penyerang itu yang menyertai PSG dari Monaco dengan nilai ratusan juta – antara yang paling tinggi disaksikan – menampilkan penyudah hebat di pentas terbesar dunia dengan sepakan leret pada minit ke-65 untuk jaringan keempat pasukannya.

Dia menamatkan permainan dengan menari di sekeliling padang bergembira bersama rakan sepasukan dan meraikannya selaku juara dunia.

“Saya sangat gembira. Laluannya panjang tetapi ia berbaloi. Kami bangga membuatkan Perancis gembira. Kami ada peranan untuk membantu mereka melupakan semua masalah mereka. Kami bermain untuk perkara seperti itu,” kata Mbappe.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *