Rooney tidak tunggu lama

Lolo, Dim ‘sorak final’ Les Bleus
July 15, 2018
Nasib Bale masih samar
July 15, 2018

Rooney tidak tunggu lama

BERITA HARIAN: Wayne Rooney beraksi cemerlang dalam kemunculan sulung di Major League Soccer (MLS) hari ini apabila membuat dua umpanan gol ketika DC United menewaskan Vancouver 3-1.

Bekas penyerang Everton dan Manchester United itu menjadi tarikan terbaru United dan dibawa masuk sebagai penyerang gantian pada minit ke-58.

Rooney membantu mengumpan dua gol yang dihasilkan Paul Arriola pada minit ke-69 dan 80 selepas pemain tengah Argentina Yamil Asad membuka tirai jaringan buat United pada minit ke-27.

“Cemerlang. Ia kemenangan hebat,” kata Rooney. “Kami bermain bola sepak menakjubkan. Ia malam istimewa untuk kelab ini yang merasmikan stadium baharu.”

Rooney yang beraksi untuk Everton pada musim lalu, menandatangani perjanjian selama 3 tahun setengah bernilai $13 juta bersama United.

“Kami amat tajam pada babak kedua, terutamanya selepas Rooney dibawa masuk,” kata pengendali United, Ben Olsen. “Amat hebat, berkualiti, hantaran cantik dan berjaya mengumpan beberapa bola hantaran terus ke dalam kotak penalti itu yang kami harapkan daripadanya.”

Stadium Audi Field bernilai $500 juta yang dinamakan ‘Wayne World’ memaparkan sepanduk gambar Rooney dengan moto “Ini adalah rumah kami’.

Puluhan ribu penyokong dilihat memakai jersi nombor 9 United dan stadium mula dipenuhi sorakan gemuruh apabila Rooney masuk ke padang bagi sesi pemanas badan.

10 minit memasuki babak kedua, penyokong mula melaungkan ‘Kami mahukan Rooney’ dan beberapa minit kemudian dia masuk menggantikan Darren Mattocks untuk mendapat tepukan gemuruh daripada 20,504 penyokong.

“Saya pun tidak sabar untuk memasuki padang sama seperti mereka mahu melihat saya beraksi,” kata Rooney. “Penyokong amat hebat. Saya berharap boleh menghadiahkan beberapa kemenangan terhadap mereka selepas ini.” – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *