Saya akan bekerja keras – Torres

Piala Dunia lonjak imej Russia
July 15, 2018
Belgium berbelah bahagi
July 15, 2018

Saya akan bekerja keras – Torres

BERITA HARIAN: Bekas pemenang Piala Dunia bersama Sepanyol, Fernando Torres yang menandatangani kontrak bersama kelab Jepun, Sagan Tosu berkata, dia akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu kelab barunya itu melakar kejayaan dalam saingan Liga J.

Bekas penyerang Liverpool, Chelsea dan Sepanyol itu yang meninggalkan Atletico Madrid selepas menyertai kelab itu semula pada 2015, akan memakai jersi nombor sembilan.

“Saya akan memberikan komitmen 100 peratus. Saya sentiasa bekerja keras,” kata pemain berusia 34 tahun itu.

“Saya mahu membantu pasukan mencatat kemenangan dan ia adalah perkara yang sentiasa menjadi keutamaan,” tambahnya.

Torres berkata, dia menerima banyak tawaran namun memilih Sagan kerana kelab itu adalah yang pertama benar-benar menunjukkan minat untuk mendapatkannya.

Dia juga mengakui bakal berdepan cabaran apabila beraksi bersama Sagan yang membabitkan aksi di atas padang serta faktor luaran.

Perpindahan Torres ke Sagan hadir selepas rakan senegara, Andres Iniesta menandatangani kontrak bersama kelab Liga J, Vissel Kobe sebelum bermulanya saingan Piala Dunia.

Kejayaan mendapatkan Iniesta adalah perpindahan terbesar dalam bola sepak Jepun ketika ramai pemain utama yang di penghujung karier lebih cenderung ke kelab China yang menawarkan gaji lebih lumayan.

Perkembangan itu juga diharap dapat kembali menarik minat pemain beraksi di Liga J yang sebelum ini berjaya mendapatkan pemain bintang Zico dari Brazil dan Gary Lineker dari England bermula pada 1993, namun liga itu agak bergelut untuk mendapatkan pemain ternama sejak kebelakangan ini.

Sementara itu presiden kelab Sagan, Minoru Takehara mengakui mereka cukup gembira dapat menggunakan khidmat Torres.

“Barisan pemain yang lain pasti dapat meningkatkan mutu permainan mereka selain memperoleh motivasi yang tinggi,” katanya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *